SEORANG wanita cedera di bahagian buku lali ketika melakukan pendakian di puncak Bukit Kodiang, Jitra hari ini, sebelum berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dengan bantuan beberapa pendaki sukarelawan.
Ketua BBP Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas menyelamat mangsa cedera di atas bukit pada pukul 12.14 tengah hari tadi.
Beliau yang mengetuai operasi itu bersama tujuh anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Mangsa dipercayai berada di lokasi tangga merah 3 dan ditemani seorang pendaki yang berada di tempat kejadian.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
“Komander Operasi melaporkan enam anggota bersama seorang pendaki membawa peralatan menuju ke lokasi mangsa berada dan diberi rawatan awal akibat kecederaan kaki yang dialami, ” katanya.
Noor Azhar berkata, mangsa kemudian dibawa turun ke kaki bukit dengan selamat sebelum dibawa menaiki Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Jitra ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.


