Penduduk Batu 7 Ijok dakwa masalah banjir sering berlaku setiap tahun

“BANYAK kali berlaku banjir, memang setiap tahun akan berlaku.”

Demikian luahan penduduk, Roslijah Sahhari, 58, yang sudah menetap lebih 40 tahun di Kampung Batu 7, Ijok, Kuala Selangor.

“Rumah ini telah didiami oleh keluarga kami sejak tiga generasi. Setiap kali banjir, air masuk hingga ke dalam rumah. Habis semua perabot,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Roslijah Sahhari

Menurutnya, punca banjir berkemungkinan disebabkan aliran air di kawasan itu sering berubah apabila longkang dan parit sedia ada tidak mampu lagi menampung jumlah air yang meningkat setiap kali hujan lebat.

“Bila sana (kawasan tinggi) sudah tak boleh terima air, parit mungkin tersumbat. Takungan air menjadi berlebihan yang menyebabkan banjir bagi setiap tahun,” katanya.

Tambah Roslijah, banjir pernah mencapai paras lebih tinggi termasuk kejadian tahun 2021 yang disifatkan antara paling buruk.

“Tahun 2021 parasnya 0.5 meter bila dalam rumah. Baru-baru ni paras luar rumah saja, tapi tetap mencecah 0.2 meter,” jelasnya.

Roslijah berkata, hampir setiap kali bencana berlaku, harta benda rosak dan perlu diganti, namun bantuan diterima masih tidak mampu menampung kerugian dialami.

“Ada bantuan, tetapi tak memadai dengan kerosakan. Tahun 2021 pun sama dan kali ini pun sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Roslijah berkata, setiap kali banjir, dia dan keluarga kini lebih berhati-hati terutama dalam menyelamatkan empat ekor kucing peliharaannya di rumah.

MUHAMMAD Amirul Fahmy Safie menempatkan empat ekor kucing peliharaannya di tempat yang lebih tinggi berikutan banjir melanda kediaman mereka di Kampung Batu 7, Ijok di Kuala Selangor hari ini.
GAMBAR: NURUL SHAFINA JEMENON
VIDEO: MOHAMAD REDZWUAN MANSOR
utusanmelayuplus

“Kucing dah biasa banjir, tetapi masa banjir besar dulu (tahun 2021) saya letak di hotel kucing. Sekarang tak mampu, kewangan tak mengizinkan,” katanya.

Roslijah yang tinggal bersama ibu dan tiga ahli keluarga lain tetap pasrah namun berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah sistem saliran di kawasan berkenaan.

“Kami dah lalui banyak kali. Takkan setiap tahun nak tukar barang, nak selamatkan barang, nak pindah lagi. Harap ada penyelesaian,” ujarnya.

Sementara itu, anak bongsunya, Muhammad Amirul Fahmy Safie, 29, yang bekerja sebagai pemandu lori, turut mengakui kawasan tersebut tidak pernah lekang daripada masalah banjir sejak dahulu lagi, termasuk sebelum pembinaan lebuh raya berhampiran.

“Memang dari dulu pun dah ada banjir, bukan sebab highway (lebuh raya) sahaja. Air sepatutnya mengalir ke sungai, tetapi bila semua laluan dah tak boleh keluarkan air, jadi berkumpul dan melimpah masuk ke kawasan perumahan kami,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img