SEKURANG-kurangnya tiga orang maut di Gaza pada hari Isnin selepas bangunan yang sebelum ini rosak akibat serangan Israel runtuh berikutan angin kencang dan hujan lebat, menurut pasukan pertahanan awam wilayah itu.
“Sejak petang ini, kami telah merekodkan tiga kematian akibat runtuhan separa bangunan usang, disebabkan sistem tekanan rendah [cuaca] yang sedang melanda Semenanjung Gaza,” kata jurucakap pertahanan awam, Mahmoud Bassal.
Kira-kira 80 peratus bangunan di Gaza telah musnah atau rosak akibat perang, menurut data yang dihimpunkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Cuaca buruk ini meletakkan ribuan rakyat Palestin dalam bahaya yang hampir serta-merta dan memaksa keluarga membuat pilihan sukar: sama ada kekal di rumah berdinding yang boleh runtuh pada bila-bila masa, atau mencari perlindungan di dalam khemah yang hampir tidak memberi perlindungan daripada kesejukan.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan pada hari Isnin bahawa seorang bayi perempuan berusia tujuh hari dan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia akibat kesejukan, menjadikan jumlah kematian kanak-kanak berkaitan cuaca kepada enam orang pada musim sejuk ini.
“Kami mengulangi bahawa keadaan amat berbahaya, dan bangunan tidak lagi menjadi tempat perlindungan yang selamat bagi penduduk dalam keadaan hujan dan angin yang berterusan,” kata Bassal.

Beliau menyeru pertubuhan antarabangsa dan masyarakat antarabangsa supaya bertindak segera bagi memberikan sokongan dan perlindungan kepada orang awam yang terjejas.
Rakyat Palestin melihat lokasi kejadian selepas sebuah bangunan di Gaza yang sebelum ini rosak akibat serangan Israel runtuh. Reuters
Agensi PBB untuk pelarian Palestin sebelum ini berkata cuaca buruk telah memburukkan lagi penderitaan penduduk Gaza.
“Penduduk Gaza kini bertahan hidup di dalam khemah rapuh yang digenangi air dan di celah-celah runtuhan,” tulis Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, di platform X.
PBB menyatakan pada hari Isnin bahawa sekurang-kurangnya 1.1 juta orang masih amat memerlukan bantuan berikutan keadaan cuaca yang teruk.
“Ribut baharu pada hari Jumaat sekali lagi membadai khemah sementara, menyebabkan ribuan orang kehilangan perlindungan,” katanya. “Pasukan PBB dan rakan-rakan sedang menjalankan penilaian dan menyokong golongan paling terdedah, namun petugas bantuan menegaskan bahawa khemah hanyalah langkah sementara.”
Satu ribut bulan lalu menyebabkan 17 bangunan runtuh. Kira-kira 42,000 khemah dan tempat perlindungan sementara turut rosak atau musnah, menurut Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan PBB pada 18 Disember.
Sekurang-kurangnya 442 orang telah terbunuh dan 1,240 cedera di Gaza sejak gencatan senjata antara Israel dan Hamas bermula pada 10 Oktober, menurut Kementerian Kesihatan. Jumlah keseluruhan kematian rakyat Palestin akibat perang itu kini melebihi 71,400 orang.


