PENEMUAN mayat lima sekeluarga dalam sebuah rumah di Lorong Cherating Damai 2, Taman Cherating Damai di Kuantan pagi ini dipercayai berpunca daripada tindakan seorang lelaki menyerang ahli keluarganya sendiri sebelum dia juga ditemukan maut.
Lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai menyerang isteri, ibu kandung dan dua anak perempuannya sehingga maut sebelum dia sendiri ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu mengorbankan seorang wanita berusia 55 tahun, menantu berusia 28 tahun serta dua cucu perempuan masing-masing berusia tiga dan empat tahun.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden berkenaan daripada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang merupakan adik lelaki suspek yang juga tinggal di rumah tersebut.
Menurut beliau, ketika kejadian terdapat enam individu berada di kediaman itu, namun remaja terbabit tidak mengalami kecederaan selepas menyedari berlaku kekecohan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati suspek bersama isterinya dan dua kanak-kanak ditemukan dalam sebuah bilik, manakala mayat ibu suspek dijumpai di bahagian dapur.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada tubuh mangsa yang dipercayai akibat objek tajam.
“Punca sebenar kematian masih menunggu laporan bedah siasat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, lapor Sinar Harian.
Yahaya berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mencederakan isteri, ibu dan dua anaknya sebelum turut mencederakan diri sendiri dan ditemukan maut di bilik yang sama.
Tambah beliau, susulan itu, polis turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, suspek dilaporkan telah berpindah ke rumah ibunya kira-kira sebulan lalu selepas berhenti kerja di Selangor dan baru memulakan pekerjaan di bandar Kuantan sejak seminggu lalu.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk faktor masalah keluarga atau kewangan.
“Semakan awal juga mendapati tiada rekod masalah mental dikesan terhadap lelaki berkenaan,” katanya.
Kes ini kata Yahaya, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Media sebelum ini melaporkan lima sekeluarga ditemukan maut di sebuah rumah di Lorong Cherating Damai 2, Taman Cherating Damai di Kuantan pagi ini, dipercayai dibunuh.
Mangsa dikatakan terdiri daripada seorang lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak perempuan berusia tiga dan empat tahun.


