Penerimaan bersyarat oleh Hamas terhadap 20 perkara yang terkandung dalam pelan damai yang dikemukan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilihat sebagai titik tolak ke arah pendamaian yang berkekalan untuk Palestin dan rakyatnya.
Sambil menyatakan Malaysia menyambut pendirian Hamas, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penerimaan itu turut mencerminkan kesediaan Hamas untuk mencari jalan penyelesaian damai.
“Alhamdulillah kita bersyukur kerana Hamas menerima (pelan itu) walaupun dengan bersyarat, maknanya tidak boleh dijadikan alasan bahawa Hamas tidak menerima 20 perkara ini untuk Gaza terus diganyang dan rakyat Palestine terus dibunuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) di Sepang hari ini.
Mohamad menjangkakan laluan bantuan kemanusian melalui pintu Rafah dan Jambatan King Hussein akan dibuka apabila pelan tersebut dilaksanakan.
Oleh itu beliau meminta mana-mana pihak yang ingin menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat boleh berhubung terus dengan Wisma Putra supaya ia dapat diatur dengan cepat dan tersusun.
“Pihak yang hendak membantu selepas ini elok pergi ke Pintu Rafah dan Jambatan King Hussein kerana apabila ia dibuka nanti, maka urusan menghantar bantuan akan berlaku dengan cepat dan teratur,” katanya.
Sebelum ini Hamas dilapor bersetuju dengan sebahagian daripada syarat terkandung dalam pelan keamanan Trump untuk menamatkan perang di Gaza.
Persetujuan itu termasuk pembebasan tebusan, namun Hamas dikatakan tidak bersetuju dengan syarat pelucutan senjata kerana pihaknya menegaskan mahu rundingan lanjut diadakan.