SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yong Peng hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya yang juga pekerja salun di Batu Pahat, bulan lalu.
Lim Chee Seong, 44, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa membunuh Lim Bee Lan, 41, di sebuah rumah Jalan Damai 2, Taman Damai II, Batu Pahat antara jam 10 malam hingga 11 pagi, 26 dan 27 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dihukum gantung, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan yang memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi sebutan semula kes memandangkan pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat, laporan forensik rakaman kamera litar tertutup (CCTV), laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan perubatan tertuduh.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 April depan.
Memetik laporan media, kehilangan seorang wanita selepas tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan di sebuah rumah di Taman Damai II, Batu Pahat dipercayai dibunuh dengan muka ditekap menggunakan bantal.
Mangsa dipercayai dibunuh oleh teman lelaki dengan mayatnya ditemukan pada jam 1 pagi selepas polis menyerbu rumah teres dua tingkat itu.
Difahamkan, ketika serbuan polis menemukan wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu manakala suspek cedera di leher dan lengan kiri selepas disyaki cuba mengelar dirinya.


