Menteri Sayap Kanan Israel, Itamar Ben Guir dilaporkan datang ke Port Ashdod, Tel Aviv malam tadi untuk melakukan provokasi ke atas aktivis Global Sumud Frotilla (GSF) dengan menuduh mereka sebagai pengganas.
Dalam rakaman video akaun X GSF, menteri itu sambil menunding jari ke arah aktivis menyatakan, mereka datang bukan untuk menolong tetapi menyokong pengganas di Gaza.
Beliau kemudian menunjukkan keadaan salah satu flotilla yang bersepah dan mendakwa tiada apa-apa bantuan dibawa di dalamnya.

Sebelum itu dalam satu video lain, Itamat menunjukkan penjara yang kononnya didakwa akan menempatkan aktiviti frotilla yang ditahan.
Israel ketika ini berhadapan dengan tekanan dunia untuk membebaskan kira-kira 500 aktivis GSF yang ditahan di perairan antarabangsa kelmarin ketika berusaha untuk menghantar bantuan makanan dan perubatan serta keperluan asas kepada rakyat Palestin di Gaza.
Bagaimanapun Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) menafikan dakwaan polis Israel kononnya Misi Global Sumud Flotilla (GSF) tidak membawa bekalan kemanusiaan dalam 40 kapal yang dipintas ketika dalam perjalanan ke Gaza.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata, sejak awal pelayaran, pelbagai barangan bantuan sudah dikongsikan melalui media sosial rasmi GSF dan SNCC sebagai bukti bahawa misi tersebut menghantar bekalan.
“Dakwaan itu tidak benar. Kita sudah kongsikan bukti dalam bentuk gambar sejak dari Barcelona, Itali, Tunisia, Greece dan Malta mengenai barangan bantuan yang dibeli serta diangkut masuk ke dalam kapal,” katanya pada sidang media di Mapim Central Warehouse, Sepang, malam Jumaat.
Beliau menjelaskan, sebahagian bantuan turut disalurkan melalui Agensi Bulan Sabit Merah Turki (Kizilay) dengan menggunakan kapal tentera Turki di peringkat akhir pelayaran.


