Pengasuh Baby Syifaa dipenjara setahun, didenda RM15,000

SEORANG pengasuh ‘Baby Syifaa’ dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang bayi berusia 15 bulan, empat tahun lalu.

Hukuman diputuskan Hakim N Kanageswari terhadap tertuduh, Khairunnisa Ahmad Damanhuri, 41, pada prosiding hari terakhir perbicaraan kes membabitkan kejadian bayi tersebut di Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar denda RM15,000 dan sekiranya gagal bayar, boleh dipenjara empat bulan, lapor Berita Harian.

Tertuduh turut diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 48 jam dalam tempoh enam bulan sebaik selesai menjalani hukuman penjara serta bon berkelakuan baik selama setahun sebanyak RM5,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili peguam S Kavittha, manakala pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron.

Turut hadir, ibu bapa Baby Syifaa, Anida Idrus, 44, dan Yuseri Yusoff, 42.

Mengikut kertas pertuduhan, Khairunnisa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan, Nour Rania Asyifaa, mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari di pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan, di sini pada 22 Februari 2022.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 31 Julai 2024 lalu, Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Baby Syifaa yang ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di pusat asuhan itu, adalah disebabkan tekanan pada leher.

Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues yang bermula pada 22 September 2022.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img