SEORANG penghantar p-hailing maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti di lorong kiri di Kilometer 3, Lebuhraya Pantai Baru (NPE), semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, lelaki berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan dialami.
Melalui satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 1.50 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal melalui laluan berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti di lorong kiri akibat mengalami kerosakan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Jayseelan di talian 011-10252531 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-796622222.


