LAPORAN mengenai ringgit melonjak ke paras RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat, tertinggi dalam tempoh hampir lapan tahun, mencerminkan keyakinan yang semakin utuh terhadap asas ekonomi negara.
Dalam suasana global yang masih mencabar, pencapaian ini memberi isyarat jelas bahawa Malaysia berada di landasan yang stabil dan diyakini pasaran.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, prestasi memberangsangkan ini mencerminkan kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin kerajaan, khususnya dalam konteks memastikan kestabilan politik serta hala tuju dasar ekonomi yang konsisten.
Menurut beliau, langkah mengurus perbelanjaan negara secara berdisiplin, membanteras ketirisan dan memperkukuh tadbir urus telah membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada pelabur serta komuniti perniagaan.
“Bagi rakyat marhaen yang bekerja keras menyara keluarga, pengukuhan ringgit membawa impak positif yang nyata dalam kehidupan harian.
“Nilai mata wang yang lebih kukuh membantu meringankan kos import barangan keperluan asas serta menyumbang kepada kestabilan harga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Farhan, keadaan ini memberi ruang kepada kerajaan untuk terus memperluas bantuan dan perlindungan sosial tanpa menambah beban kewangan rakyat.
Tambahnya, keyakinan pelabur asing yang semakin meningkat turut membuka peluang pekerjaan baharu dan menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor-sektor penting seperti teknologi, pembuatan lanjutan dan tenaga boleh diperbaharui.
“Apabila lebih banyak syarikat antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka, maka lebih luas peluang-peluang ekonomi yang tersedia bagi anak muda dan usahawan tempatan,” jelasnya.
Ahmad Farhan berkata, pengukuhan berterusan bagi ringgit menyampaikan mesej yang amat jelas. Dasar ekonomi yang dilaksanakan secara bijaksana, konsisten dan berintegriti mampu memulihkan keyakinan serta membawa manfaat terus kepada rakyat.
Jelas beliau, pengukuhan ini bukan sekadar angka di pasaran kewangan, tetapi gambaran jelas bahawa usaha kerajaan hari ini, di bawah kepimpinan cemerlang Perdana Menteri, telah mula membuahkan hasil yang nyata.


