Penipuan dalam talian : 3 rakyat Malaysia antara 49 ditahan di Phnom Penh

POLIS Phnom Penh menahan seramai 49 individu yang disyaki terlibat dalam operasi penipuan dalam talian dalam satu serbuan di ibu negara itu, kelmarin.

Kesemua suspek diberkas dalam serbuan ke atas sebuah bangunan hotel yang disyaki di kawasan O’Bek Ka’am, daerah Sen Sok.

Operasi tersebut dilaksanakan atas arahan terus Gabenor Phnom Penh, Khuong Sreng, manakala pasukan teknikal diketuai Ketua Polis Perbandaran Phnom Penh, Leftenan Jeneral Chuon Narin, lapor portal khmertimeskh.com

Menurut kenyataan Polis Phnom Penh, sindiket berkenaan beroperasi di ruang bawah tanah serta tingkat dua dan tiga bangunan terbabit.

Daripada 49 individu yang ditahan, tiga daripadanya wanita, terdiri daripada 43 warga China, tiga rakyat Malaysia, serta masing-masing seorang dari Vietnam, Myanmar dan Kemboja.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk 60 komputer all-in-one, 31 unit CPU, sebuah komputer riba, 687 telefon bimbit serta 46 kad SIM Malaysia.

Laporan awal mendapati suspek menggunakan Kemboja sebagai pangkalan untuk menjalankan penipuan berbentuk “pelaburan palsu” yang menyasarkan mangsa di Malaysia dan beberapa negara lain.

Sindiket tersebut dipercayai baru sahaja berpindah dari wilayah Tboung Khmum.

Kesemua suspek bersama barangan rampasan kini berada di bawah siasatan Polis Perbandaran Phnom Penh.

Dalam pada itu, pihak berkuasa menggesa pemilik premis supaya lebih berwaspada terhadap kehadiran warga asing tanpa dokumen sah serta individu yang disyaki terlibat dalam jenayah siber.

Kerajaan juga berikrar untuk membanteras sepenuhnya aktiviti penipuan berasaskan teknologi di negara itu menjelang April ini

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img