SEORANG lelaki maut selepas sebatang besi penyambung atau longshaft dianggarkan seberat lebih 100 kilogram dari sebuah lori tercabut, melantun dan menembusi cermin hadapan kereta dinaiki serta mengenai muka mangsa, pagi ini.
Nahas ngeri itu berlaku kira-kira jam 8.30 pagi di Jalan Sri Bengkal dekat Sri Gading, Batu Pahat sewaktu mangsa, Juhari Murid, 63, dalam perjalanan menaiki Perodua Alza bersama isteri dan beberapa ahli keluarganya dari Senggarang menghala ke Felda Pemanis di Segamat.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia manakala isterinya, Zaina Khalid, 58, serta tiga adiknya termasuk yang memandu Perodua Alza itu tidak mengalami kecederaan.
Dipercayai kenderaan dinaiki mangsa dan keluarganya sebelum itu berselisih dengan lori terbabit sebelum besi berkenaan tiba-tiba tercabut dan menembusi cermin kenderaan keluarga itu.
Anak mangsa, Noor Shahin, 31, memberitahu dia terkejut menerima panggilan daripada seorang sepupunya memaklumkan bapanya kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Sejak awal lagi hati saya berat untuk lepaskan ayah ke Segamat, rupa-rupanya ia petanda saya akan kehilangan orang tersayang.
“Sebaik mendapat berita sedih itu, saya teringat rasa tidak sedap hati semalam selepas ibu, memberitahu dia bersama ayah mahu ke Segamat,” katanya yang terus bergegas dari Muar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat, lapor Harian Metro.
Noor Shahin berkata, dia sempat membuat panggilan video dengan bapanya semalam dan ketika itu, arwah sangat gembira dan tidak sabar untuk bertemu cucunya, Mohd Aidan Rizki Firdaus yang berusia tiga bulan di Parit Simpan hari ini.
“Ayah cakap rindu cucu. Jadi saya hendak balik hari ini, tapi kepulangan saya kali ini hanya untuk menatap jenazah ayah,” katanya.
Seorang lagi anak arwah, Mohd Danis Hakim, 22, berharap pemilik lori ataupun syarikat terbabit dikenakan tindakan berat disebabkan kecuaian yang meragut nyawa bapanya.
“Saya tahu ajal dan maut ketentuan Ilahi, tetapi kejadian ini berlaku akibat kecuaian… saya tidak mahu perkara sama berulang ke atas orang lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.


