SEORANG penunggang motosikal maut selepas merempuh seekor tapir seberat 200 kilogram di Kilometer 320.5 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Kerteh menghala ke Kuala Terengganu di Chukai, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Iffil Nazwa Azman, 24, seorang pekerja kontrak dari Kampung Pinang Baru, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dari Kerteh dalam perjalanan ke rumahnya.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, seekor tapir besar yang dipercayai keluar dari hutan berhampiran melintas secara tiba-tiba di kawasan lebuh raya terbabit.
“Mangsa dikatakan gagal mengelak sebelum merempuh tapir terbabit yang menyebabkan mangsa tercampak di atas lebuh raya terbabit,” katanya, lapor Harian Metro.
Berikutan itu, Mohd Razi berkata, mangsa kemudiannya dipercayai digilis sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti.
Katanya, mangsa yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal di tempat kejadian. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu polis dengan menyalurkan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.
Mohd Razi berkata, pihaknya menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan bangkai tapir terbabit diambil anggota jabatan itu untuk tindakan lanjut.


