PENUNTUT dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas kesalahan melakukan perbuatan kelucahan melampau di hadapan wanita serta memiliki lebih 2,000 video dan gambar lucah.
Tertuduh, Xyful Naseem Muzzammil Rizuwan, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Arun Noval Dass, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki didakwa dengan sengaja melakukan kelucahan melampau terhadap suri rumah berusia 34 tahun di Jalan Parit Sempadan Laut, Parit Raja, pada 8 pagi, 26 Januari lalu.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, dia didakwa menyimpan bahan berupa 1,259 video dan 1,196 gambar lucah dalam telefon bimbit miliknya dengan kesalahan itu juga dilakukan pada tarikh, waktu dan lokasi sama.
Berdasarkan laporan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama dua lagi rakannya sedang berjoging di Jalan Parit Sempadan Laut, Parit Raja sebelum terdengar bunyi sesuatu dari semak berhampiran.
Mangsa kemudian ternampak kelibat lelaki tidak dikenali di tepi semak dalam keadaan tidak berpakaian, malah tertuduh mengekori mangsa dan rakannya menyebabkan mereka ketakutan lalu melarikan diri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Suhaila Shafi’uddin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan kes disebut semula 20 April untuk serahan dokumen.


