PERANG Perang berterusan Israel di Semenanjung Gaza telah meningkatkan jumlah anak yatim lebih daripada tiga kali ganda, menjadikan angkanya kini dianggarkan 57,000 orang, menurut Penolong Setiausaha Kementerian Pembangunan Sosial di Gaza, Dr. Riad Al-Bitar.
Sebelum perang bermula, Gaza mencatatkan sekitar 17,000 anak yatim. Kini, lebih 40,000 kanak-kanak telah kehilangan seorang atau kedua-dua ibu bapa, dan ada yang menjadi satu-satunya ahli keluarga yang masih hidup selepas dua tahun serangan yang digambarkan oleh pegawai sebagai “pembunuhan beramai-ramai” oleh Israel.
Dr. Al-Bitar berkata kementeriannya sedang merangka strategi penjagaan menyeluruh yang menumpukan kepada keperluan ekonomi, sosial dan psikologi, selain merancang untuk membina lima rumah penjagaan anak yatim baharu.
Beliau turut menyeru penajaan kewangan segera bagi anak-anak yang terjejas serta keluarga yang menempatkan mereka.
Kementerian itu juga sedang mewujudkan pangkalan data digital bersepadu untuk menyelaras penghantaran bantuan dan mengelakkan pertindihan antara organisasi, walaupun ketidakstabilan politik dan operasi yang berpecah-belah menjadi cabaran utama.
Menurut Al-Bitar, kadar kemiskinan di Gaza kini melebihi 95%, dengan semua aktiviti ekonomi terhenti dan bantuan kemanusiaan kebanyakannya tergendala. Kanak-kanak kini terpaksa menjalani rutin untuk terus hidup mengisi air, mencari makanan, dan mengutip kayu api dan bukan lagi ke sekolah seperti dahulu.
Beberapa institusi kebajikan kanak-kanak, termasuk Pusat Pemulihan Al-Rabi, Pusat Perlindungan Kanak-kanak, Institut Al-Amal untuk Anak Yatim, dan Perkampungan Kanak-kanak SOS di Rafah, telah musnah atau rosak teruk akibat serangan udara Israel.
Kaum wanita turut menanggung penderitaan paling besar, dengan ramai kehilangan suami, anak-anak, rumah serta hidup berpindah-randah dalam keadaan yang amat sukar. Mereka kini tinggal di khemah tanpa privasi dan kekurangan rawatan kesihatan asas.
Satu-satunya pusat perlindungan wanita di Gaza, Beit Al-Aman Center, turut dimusnahkan oleh tentera Israel. Kementerian kini berusaha mendapatkan bantuan antarabangsa untuk membina semula pusat tersebut secepat mungkin.
Walaupun kemudahan kementerian banyak musnah dan ramai kakitangannya terkorban, Kementerian Pembangunan Sosial tetap meneruskan tugasnya menyalurkan bantuan, melindungi wanita dan kanak-kanak, serta menubuhkan pusat perlindunga — semuanya melalui sistem digital nasional yang menyokong ketahanan rakyat Palestin di Gaza.
UNDILAH |