Perginya tonggak perjuangan bahasa Melayu, tulisan Jawi

 

Oleh  Kamalshukri Abdullah Sani 

 Mengenang Prof. Diraja Syed Muhammad Naquib Al-Attas

PEMERGIAN Syed Muhammad Naquib Al-Attas bukan sekadar kehilangan seorang ilmuwan besar tetapi juga hilangnya satu tonggak perjuangan peradaban.

 Bagi mereka yang memahami sejarah pemikiran Melayu-Islam, suasana hari ini terasa murung dan sepi, seolah-olah satu tiang seri telah tercabut daripada rumah besar tamadun kita.

Prof. Al-Attas bukan sekadar sarjana falsafah tetapi Allahyarham adalah pejuang bahasa Melayu dan tulisan Jawi, yang melihat bahasa bukan hanya alat komunikasi, tetapi wadah peradaban dan akal budi bangsa.

Dalam banyak tulisannya, Allahyarham mengingatkan bahawa bahasa Melayu yang diIslamkan melalui Jawi telah membentuk tamadun intelektual Nusantara selama berabad-abad.

Di tangan ulama dan sarjana terdahulu, bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Melalui Jawi, karya-karya besar lahir, tafsir, fiqh, tasawuf, sejarah dan falsafah. Itulah tradisi yang ingin dipertahankan oleh Allahyarham.

Namun hari ini, setelah pemergian beliau, terasa benar betapa sedikitnya tokoh yang mampu menyambung perjuangan itu dengan kekuatan intelektual yang sama.

Bahasa Bukan Sekadar Alat, Tetapi Jiwa Peradaban

Bagi Allahyarham Prof. Al-Attas, bahasa bukan sekadar medium praktikal. Ia adalah kerangka pemikiran manusia.

Apabila bahasa sesuatu bangsa dilemahkan, pemikirannya juga akan menjadi lemah. Apabila bahasa ilmu digantikan dengan bahasa asing secara paksa, maka generasi baharu akan terpisah daripada akar sejarah dan tradisi intelektualnya sendiri.

Inilah sebabnya Allahyarham sering menegaskan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu tinggi, sebagaimana pernah berlaku dalam sejarah Nusantara.

Sejarah membuktikannya.

Pada suatu ketika dahulu, ulama dari Aceh, Patani, Melaka dan Jawa menulis kitab dalam bahasa Melayu. Dari kitab tasawuf hingga falsafah, bahasa Melayu menjadi bahasa yang mampu mengungkapkan konsep-konsep yang halus dan mendalam. Tetapi hari ini, keyakinan terhadap bahasa sendiri semakin terhakis.

Realiti Yang Membimbangkan

Tulisan terbuka yang saya tujukan kepada Datuk Seri Anwar  Ibrahim baru-baru ini mengingatkan kita tentang realiti pahit yang sedang berlaku. Selama lebih 70 tahun selepas kemerdekaan, bahasa Melayu sering dipuji dalam ucapan, tetapi dalam praktiknya sering diketepikan.

Mesyuarat rasmi kerajaan masih berlangsung dalam bahasa Inggeris. Perbincangan di peringkat tertinggi negara juga tidak sepenuhnya menggunakan bahasa kebangsaan.

Ironinya, di luar dewan mesyuarat, seruan memartabatkan bahasa Melayu terus bergema.

Lebih membimbangkan, dalam sistem pendidikan pula muncul dasar yang secara perlahan menghakis kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Kita pernah melalui episod Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Setelah ia dimansuhkan, muncul pula Dual Language Programme (DLP) Malaysia yang membenarkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah tertentu.

Bagi pejuang bahasa, keadaan ini ibarat memberi makanan terbaik kepada ternakan tetapi air minumnya adalah racun.

Selagi DLP wujud, usaha memartabatkan bahasa Melayu akan sentiasa terdedah kepada ancaman.

Perjuangan Yang Pernah Tegas

Sejarah pernah menyaksikan keberanian pemimpin mempertahankan bahasa kebangsaan.

Antara tokoh penting ialah Abdul Rahman Ya’kub yang sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1969 berani menukar bahasa penghantar pendidikan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.

Langkah tersebut membuka ruang besar kepada bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu di universiti dan sekolah. Selama hampir tiga dekad, bahasa Melayu berjaya membuktikan kemampuannya. Tetapi selepas itu, dasar-dasar baharu mula menggugat asas tersebut.

Mengapa Al-Attas Sangat Penting?

Dalam konteks inilah pemikiran Prof. Al-Attas menjadi sangat penting. Beliau mengingatkan bahawa masalah sebenar bukan sekadar bahasa, tetapi kekeliruan ilmu (confusion of knowledge).

Apabila sesuatu bangsa hilang keyakinan terhadap bahasa dan tradisinya sendiri, maka ia akan mudah menerima kerangka pemikiran asing tanpa tapisan. Inilah yang beliau sebut sebagai penjajahan pemikiran.

Bagi beliau, pembebasan sebenar bukan sekadar bebas secara politik, tetapi bebas dalam cara berfikir. Dan bahasa memainkan peranan utama dalam proses tersebut.

Jawi: Kunci Tradisi Ilmu

Selain bahasa Melayu,  Allahyarham Al-Attas juga mempertahankan tulisan jawi. Ia kerana jawi bukan sekadar tulisan lama. Ia adalah pintu kepada khazanah intelektual Melayu-Islam.

Melalui jawi kita membaca karya: ulama Nusantara,hikayat sejarah,kitab tasawuf dan undang-undang Melayu klasik.

Apabila Jawi dipinggirkan, generasi baharu akan terputus daripada sumber ilmu asal mereka. Inilah sebabnya Allahyarham  Al-Attas melihat usaha menghidupkan jawi sebagai usaha memulihkan kesinambungan tamadun.

Murungnya Suasana Hari Ini

Dengan pemergian beliau, suasana terasa sepi. Bukan kerana tiada sarjana lain. Tetapi kerana jarang sekali muncul seorang tokoh yang mampu menggabungkan falsafah,sejarah,bahasa,tamadun dan pemikiran Islam dalam satu kerangka yang begitu mendalam.

Allahyarham Al-Attas bukan sekadar mengkritik Barat. Allahyarham memahami Barat dengan mendalam, lalu membina kerangka intelektual Islam yang mampu berdialog dengannya. Itulah kekuatan sebenar beliau.

Amanah Yang Tinggal

Kini perjuangan itu menjadi amanah generasi seterusnya. Memartabatkan bahasa Melayu bukan bermakna menolak bahasa lain. Para pejuang bahasa sejak 1960-an tidak pernah meminta bahasa Inggeris atau Mandarin dihapuskan.

Sebaliknya mereka hanya menuntut satu perkara :Bahasa Melayu benar-benar menjadii bahasa rasmi negara seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan. Ia harus menjadi bahasa pentadbiran, bahasa ilmu, dan bahasa perpaduan. Bahasa lain boleh dipelajari, malah digalakkan, tetapi bahasa kebangsaan tidak boleh dikorbankan.

Jangan Biarkan Perjuangan Ini Mati

Pemergian Prof. Al-Attas sepatutnya menjadi peringatan besar kepada negara. Jika kita terus bermain dengan retorik, tetapi dasar pendidikan dan pentadbiran bergerak ke arah yang bertentangan, maka lambat laun bahasa Melayu hanya tinggal sebagai simbol.

Perjuangan bahasa bukan isu kecil. Ia adalah soal maruah bangsa dan kelangsungan peradaban. Dan hari ini, ketika tokoh besar seperti Prof. Diraja Syed Naquib Al-Attas telah pergi, kita harus bertanya kepada diri sendiri: Adakah kita akan meneruskan perjuangan ini? Atau membiarkannya hilang bersama pemergian beliau.

Kerana jika bahasa runtuh, maka runtuhlah juga rumah besar peradaban yang dibina oleh generasi terdahulu. Dan ketika itu, kita mungkin baru menyedari betapa besarnya kehilangan kita. Perginya Al-Attas bukan sekadar perginya seorang sarjana. Ia adalah perginya sebuah zaman perjuangan.

 *Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan  Melayu (MPM).

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img