Perintah Ulung PAT Ke-24: Memulih Keyakinan, memperkukuh integriti, mengangkat martabat tempur

FOKUS

KEM Perdana Sungai Besi menyaksikan detik bersejarah apabila Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman menyampaikan Perintah Ulung beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-24.

Dalam ucapan itu, Malek Razak menegaskan pelantikan beliau bukan suatu keistimewaan peribadi, sebaliknya amanah besar kepada negara di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam ucapan yang sarat nilai ketuhanan, penghormatan terhadap jasa perwira dan penekanan kesiapsiagaan, beliau menzahirkan tekad untuk mengukuhkan semula institusi pertahanan negara melalui pembaharuan menyeluruh.

Malek Razak menegaskan kesiapsiagaan tidak boleh dikompromi. Namun tegas beliau “kekuatan” yang dikehendaki bukan semata-mata aset moden sebaliknya terletak pada sistem tersusun, kepimpinan berdisiplin serta warga berintegriti dan berjiwa kental.

Pada masa sama, beliau mengakui wujud cabaran yang menjejaskan persepsi serta keyakinan terhadap ATM. Justeru, kepimpinan mesti berani memperbetul, memperkemas dan menegaskan semula asas kekuatan angkatan.

Sebagai hala tuju utama, Malek Razak  memperkenalkan kerangka nilai A.T.M: Akhlak Teras, Tatakelola Tuntas, dan Martabat Tempur. Akhlak Teras menuntut integriti dan disiplin sebagai asas kepimpinan dan perkhidmatan; Tata kelola Tuntas menekankan ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap keputusan; manakala Martabat Tempur menegaskan kesiapsiagaan tinggi, profesionalisme dan semangat juang mempertahankan kedaulatan negara.

Untuk memastikan nilai ini tidak tinggal sebagai slogan, tujuh tonggak digariskan sebagai penggerak pembaharuan.

Tonggak pertama menuntut pembinaan jiwa dan akhlak sebagai benteng institusi termasuk pemerkasaan pendidikan kerohanian, moral dan etika ketenteraan. Dalam konteks ini, PAT mengumumkan penstrukturan penting apabila Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) diletakkan secara langsung di bawah PAT bagi memperkukuh peranan sebagai penasihat, pemantau dan pembimbing pembinaan sahsiah.

Tonggak kedua pula menegakkan tatakelola dan integriti melalui pengukuhan sistem. Pelaksanaan Pelan Pembanterasan Rasuah ATM 2025–2029 ditekankan, termasuk pematuhan audit, semak imbang perolehan, pemerkasaan Inspektorat, kewajipan pengisytiharan harta, serta penempatan semula berkala jawatan berisiko tinggi dengan had maksimum 18 bulan.

Malek Razak  menegaskan prinsip tegas: tiada ruang pelanggaran amanah, tiada perlindungan kepada penyalahgunaan kuasa dan tindakan akan diambil tanpa mengira pangkat.

Dalam membina Angkatan Masa Hadapan (AMH), beliau menekankan realiti ancaman pelbagai domain termasuk siber, elektromagnetik dan perang maklumat.

Fasa pembangunan AMH 2026–2030 akan dipacu melalui pendekatan “transformation in contact”, mengemaskini dokumen strategik utama dan memusatkan keutamaan perolehan berdasarkan impak strategik serta kesiapsiagaan operasi.

Kesiapsiagaan menyeluruh turut diperkukuh melalui latihan bersama berasaskan ancaman sebenar, penyelarasan markas, analisis ancaman berterusan dan kitaran keputusan pantas.

Beliau  turut meletakkan kebajikan anggota, keluarga dan veteran sebagai teras kekuatan moral, termasuk penambahbaikan kem, RKAT, pendidikan anak ATM, peranan BAKAT dan kebajikan veteran.

Hubungan ATM–masyarakat diperkasa melalui program libat urus, pendidikan keselamatan awam dan komunikasi strategik yang profesional. Di peringkat serantau, diplomasi pertahanan berprinsip digerakkan bagi memastikan Malaysia dihormati, berpegang pada ASEAN centrality, serta kekal tegas mempertahankan kepentingan nasional.

Akhirnya, Perintah Ulung ini menegaskan ikrar taat setia kepada Raja dan Negara, serta janji bahawa profesionalisme, tata kelola dan martabat tempur akan menjadi paksi: “Ketahanan ATM, Benteng Pertahanan Negara.”

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img