Perlis turut dilanda banjir, 120 dipindahkan di Wang Kelian

HUJAN lebat tanpa henti sejak malam tadi mengakibatkan Kampung Wang Kelian di Padang Besar, Perlis dilanda banjir dan seramai 120 penduduk di kawasan itu kini telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Perlis kini memasuki senarai enam negeri yang terlibat banjir selain Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Sarawak dan ketika ini kesemua mangsa dipindahkan ke Masjid Nurul Husna yang dijadikan PPS.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan lebat turun sekitar 106 milimeter dan beberapa sungai di negeri ini juga dalam paras bahaya.

“Kita percaya taburan hujan luar biasa ini yang menyebabkan air dari bukit Wang Kelian mengalir masuk ke kawasan kampung dan menyebabkan banjir.

“Penduduk perlu sentiasa bersedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa supaya bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan berkesan,” katanya pada sidang media selepas meninjau situasi banjir di Kampung Wang Kelian hari ini.

Jelas Mohd Shukri, proses pemindahan dan bantuan turut diselaraskan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pihak berkuasa menjangkakan paras air akan naik lagi dalam masa terdekat namun berharap ia tidak melimpah,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut menyediakan tiga PPS tambahan termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Sireh, SK Titi Tinggi dan SK Felda Mata Ayer.

Mohd Shukri turut menghargai bantuan awal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang membantu mangsa banjir yang dipindahkan dengan menyediakan bantuan seperti pakaian dan makanan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, beberapa laluan utama termasuk Jalan Wang Kelian yang terjejas akibat runtuhan tanah kini ditutup.

Menurutnya, runtuhan tanah yang berlaku di laluan berkenaan menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya dan menyebabkan laluan itu ditutup sepenuhnya sehingga kerja-kerja pembersihan dan penilaian keselamatan selesai dijalankan.

“Penutupan ini adalah langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Kami sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan kawasan tersebut selamat sebelum dibuka semula kepada orang awam,” katanya.

Selain Jalan Wang Kelian, beberapa laluan lain turut ditutup kepada semua kenderaan ringan berikutan paras air yang meningkat secara mendadak.

Antara laluan yang terjejas adalah Jalan Kaki Bukit Batu 16, Simpang Tiga Kok Mak, Jalan Kampung Chantek Kaki Bukit, Jalan Titi Tinggi, Jalan Gua Kelam dan Jalan Kangar–Padang Besar berhampiran Agrovets Perlis.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img