Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi hari ini berkata, tumpuan Pelan Damai Gaza kini diberikan kepada usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari wilayah.
Perkara itu ddisampaikan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melalui perbualan telefon bagi memaklumkan perkembangan di Gaza.
Anwar berkata, El-Sisi berkata, langkah itu diberikan supaya rejim Zionis tidak mempunyai sebarang alasan untuk melengah atau menggagalkan proses damai yang sedang diusahakan.
‘’Beliau turut memaklumkan mengenai pelaksanaan fasa kedua pelan tersebut, iaitu pembinaan semula Gaza, keperluan melindungi Tebing Barat, serta pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF),’’ kata Anwar melalui Facebook beliau.
Dalam kesempatan tersebut, kata Perdana Menteri, El-Sisi turut menyampaikan jemputan beliau untuk menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza yang akan berlangsung di Mesir, sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan Gaza.
‘’Presiden El-Sisi juga menyatakan harapan agar kunjungan Presiden Donald Trump ke Malaysia minggu hadapan membawa hasil yang positif, memandangkan peranannya amat penting dalam menjamin keamanan yang berkekalan di Gaza,’’ katanya.
Beliau berkata, mereka sependapat mengenai keperluan untuk terus mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan, dan menyelaras pelaksanaan misi bantuan bagi rakyat Palestin yang masih berdepan penderitaan berpanjangan.
UNDILAH |