LELAKI yang ditembak dalam kejadian rompakan di sebuah kedai emas di Seksyen 14 Petaling Jaya hari ini dipercayai gagal melarikan diri selepas berlaku pergelutan dengan seorang pengawal keselamatan di tempat kejadian.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.59 pagi itu, suspek yang merupakan lelaki tempatan dilaporkan cuba merompak barangan kemas dengan bersenjatakan pisau.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Polis Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat pertama mengenai kejadian berkenaan melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
“Dalam kejadian tersebut, suspek dipercayai gagal melarikan diri selepas berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan di lokasi kejadian.
“Suspek kemudian mengalami kecederaan akibat tembakan yang dilepaskan oleh pengawal keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata, pengawal keselamatan terbabit turut mengalami kecederaan akibat pergelutan yang berlaku semasa kejadian.
Beliau berkata, kedua-dua individu berkenaan kemudiannya dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun pada jam 11.53 pagi, suspek disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya.
Beliau berkata, bedah siasat ke atas mayat suspek akan dijalankan di PPUM esok bagi mengenal pasti punca kematian.
Katanya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Zairi Zakaria di talian 013-839 1124,” katanya.


