PERSATUAN Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN (TAHTA), menafikan dakwaan kononnya terdapat kes kecurian petrol dari tangki kenderaan Malaysia ketika berkunjung ke selatan Thailand.
Presiden TAHTA, Aida Oujeh bagaimanapun mengakui, memang berlaku kecurian petrol namun ia membabitkan kenderaan Thailand di Narathiwat ketika bulan Ramadan lalu.
“Justeru, rakyat Malaysia tidak perlu gusar untuk melancong ke sini dan polis sudah memaklumkan tiada kecurian petrol membabitkan kenderaan Malaysia,” katanya dihubungi hari ini, lapor BH.
Menurutnya, bekalan minyak di selatan Thailand memang terhad sebelum ini namun situasi itu semakin pulih sejak empat hari lalu.
Sebelum ini tular dalam media sosial mengatakan terdapat kes kecurian petrol di selatan Thailand membabitkan kenderaan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan, rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan sementara perjalanan ke Thailand susulan kekurangan bekalan petrol dan diesel di negara itu.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dilaporkan berkata, nasihat itu khusus kepada mereka yang merancang berkunjung ke destinasi popular seperti Hatyai dan Songkhla di selatan Thailand sempena cuti panjang Aidilfitri.


