GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding di 55 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 Nov ini.
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata seramai 51 calon diumumkan hari ini manakala baki empat lagi akan diumumkan esok.
“Daripada calon kita umumkan hari ini, 33 adaah peratus muka baharu,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Seramai 29 calon yang diumumkan adalah penyandang manakala 22 lagi baharu termasuk dua presiden parti komponen dalam GRS iaitu Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang akan bertanding di DUN Pintasan dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman bagi DUN Bongawan.
Sementara itu, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan bertanding di DUN Sulaman yang dimenanginya pada PRN lepas.
Hajiji berkata semua calon GRS akan mengangkat aspirasi rakyat Sabah dalam usaha memastikan kesinambungan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang menjadi asas perjuangan ke arah membina negeri lebih maju, progresif, makmur dan sejahtera.
“Keluarga besar GRS bersedia berkhidmat dan berbakti dengan masyarakat Sabah. Kita rapatkan saf kepimpinan, kita perkukuh semangat perjuangan. Kita pastikan menang dalam pilihan raya ini… insya-Allah, jika kita ada semangat ini, kita akan kembali meneraju tampuk pemerintahan kerajaan Sabah,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berkata calon yang diumumkan adalah gandingan antara individu berpengalaman dengan muka baharu yang diyakini beliau mampu memberi kemenangan kepada GRS pada PRN kali ini.
“Saya berharap dengan pengumuman calon tadi, penyokong GRS dan juga parti-parti komponen mesti kerja kuat untuk memastikan calon kita menang dalam pilihan raya… kita akan menggunakan bendera sama (iaitu) bendera GRS,” katanya.
SEMENTARA itu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi.
Presidennya Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata sebanyak 29 calon diumumkan hari ini manakala baki 11 lagi akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
DALAM perkembangan lain, parti Warisan Sabah (Warisan) akan bertanding di kesemua 73 kerusi dalam PRN tersebut.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Majlis Penyampaian Watikah Calon-Calon Warisan di ibu pejabat parti di Kolombong di Kota Kinabalu hari ini.



