SEBUAH pesawat Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) terhempas di wilayah Chiang Mai pada pagi Khamis, mengorbankan dua juruterbang yang berada di dalamnya.
Pesawat ringan jenis Beechcraft AT-6TH itu dilaporkan sedang menjalani penerbangan latihan sebelum terhempas di kawasan hutan di Kampung Huay Muang Fang Sai, daerah Chomthong, menurut laporan media tempatan yang memetik kenyataan tentera udara.
Saluran Amarin TV melaporkan penduduk setempat mendakwa terdengar dua letupan kuat sebelum pesawat berkenaan terbakar.
Tentera Udara Diraja Thailand memiliki lapan buah pesawat AT-6TH yang digunakan bagi pelbagai tujuan, termasuk misi tempur. Kesemua pesawat tersebut berpangkalan di Wing 41 di wilayah utara Thailand.


