’Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah perkara yang tidak boleh dikompromi, dan kita tidak akan membiarkan ia dicabuli tanpa sebarang tindakan.’’ – Datuk Seri Anwar Ibrahim
MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya tindakan haram Israel memintas Global Sumud Flotilla awal pagi tadi di perairan antarabangsa kira-kira 70 batu nautika dari Gaza.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kapal-kapal ini membawa orang awam yang tidak bersenjata serta bantuan kemanusiaan penting untuk Gaza, namun telah disambut dengan ugutan, paksaan, dan tindakan agresif.
‘’Dengan menghalang misi kemanusiaan ini, Israel sekali lagi menunjukkan sikap tidak menghormati bukan sahaja hak dan maruah rakyat Palestin, tetapi juga nurani masyarakat antarabangsa.
‘’Flotilla tersebut melambangkan solidariti, belas kasihan, dan harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terperangkap di bawah sekatan haram,,’’ katanya kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Malaysia akan menggunakan segala saluran sah dan berlandaskan undang-undang untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya dalam hal yang melibatkan warganegara Malaysia.
‘’Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah perkara yang tidak boleh dikompromi, dan kita tidak akan membiarkan ia dicabuli tanpa sebarang tindakan. Selagi rakyat Palestin dinafikan hak asasi dan aspirasi mereka.
‘’ Malaysia akan tetap teguh dan tidak berganjak dalam solidariti bersama mereka. Kita tidak akan berhenti menuntut pengakhiran kepada ketidakadilan, penindasan, dan perampasan yang telah membelenggu Palestin sejak sekian lama,’’ katanya.