PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Mushaf Malaysia Madani, al-Quran hibrid yang menggabungkan seni khat tempatan dengan inovasi digital bagi memperluaskan penghayatan al-Quran secara lebih interaktif.
Menurut beliau, penghasilan Mushaf Malaysia Madani mencerminkan usaha berterusan negara dalam memartabatkan al-Quran selari dengan perkembangan teknologi semasa.
“Mushaf ini bukan sekadar naskhah al-Quran yang indah dari segi seni khat, tetapi turut memanfaatkan teknologi bagi membolehkan masyarakat memahami dan menghayati al-Quran dengan lebih mendalam,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran berkenaan di Kompleks Percetakan Bersepadu Nasyrul Quran, Putrajaya hari ini.
Perdana Menteri berkata, proses penyalinan mushaf tersebut mengambil masa hampir lima tahun dan dikendalikan oleh penulis khat berpengalaman dari Yayasan Restu, Ustaz Abdul Baki Abu Bakar.
“Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman termasuk terlibat dalam penyalinan Mushaf Malaysia pada tahun 1995,” ujarnya.
Menurutnya, setiap helaian mushaf dihasilkan dengan ketelitian tinggi bagi memastikan kesempurnaan kandungan al-Quran terus terpelihara.
Selain itu, pasukan digital yang diketuai Ustaz Arif Azamuddin Rochi turut membangunkan sistem kandungan interaktif dengan integrasi kod imbasan QR.
“Ini membolehkan pembaca mengakses terjemahan pelbagai bahasa, terjemahan perkataan demi perkataan, panduan tajwid, asbab al-nuzul serta penerangan berkaitan elemen STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) yang berkait dengan ayat al-Quran,” katanya.
Mushaf berkenaan turut menampilkan audio tilawah yang dibacakan oleh pakar qiraat antarabangsa dari Mesir, Ahmad ‘Isa al-Ma’sarawi, manakala Afeefuddin al-Jailani bertindak sebagai penasihat al-Quran antarabangsa bagi memastikan ketepatan kandungan serta penyelarasan terjemahan dalam pelbagai bahasa.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Dr Abdul Latiff Mirasa berkata, cetakan pertama Mushaf Malaysia MADANI akan dikeluarkan sebanyak 20,000 naskhah dengan proses pengagihan dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan.
Menurutnya, orang ramai kini boleh membuat tempahan awal sama ada untuk kegunaan peribadi, hadiah atau tujuan wakaf.
Selain peluncuran mushaf tersebut, Anwar turut melancarkan satu kontena al-Quran wakaf antarabangsa di bawah Projek Wakaf Satu Juta Al-Quran.
“Kontena tersebut mengandungi naskhah al-Quran berserta terjemahan dalam beberapa bahasa termasuk Sepanyol, Inggeris dan Perancis yang akan disalurkan kepada komuniti Muslim di luar negara termasuk di Kanada dan Amerika Syarikat,” katanya.
Majlis peluncuran itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, pegawai kanan kerajaan serta wakil pelbagai kementerian dan agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.


