PM setuju ujian saringan diagnostik Tahun Satu tidak dilaksanakan

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu seawal umur enam tahun mulai sesi persekolahan 2027, tidak dilaksanakan.

Beliau berkata perkara itu telah diteliti termasuk kebimbangan pelaksanaan cadangan ujian diagnostik boleh memberi kesan psikologi serta bersifat diskriminatif kepada kanak-kanak.

“Cadangan awal (ujian diagnostik) itu baik sebab ada satu sistem penilaian sebelum anak masuk ke sekolah… tetapi difikirkan nanti ia jadi diskriminatif.

“Maknanya, ada anak-anak ini nak masuk darjah satu, prasekolah, (dikatakan) tidak layak, dia kurang cerdik dan sebagainya. Mungkin ada kesan psikologi. Oleh itu, ditiadakan. Itulah cadangan Menteri Pendidikan dan saya setuju ditiadakan dan dipermudahkan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang meminta kerajaan meneliti pelaksanaan ujian diagnostik kemasukan Tahun Satu pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata ketiadaan ujian itu tidak bermakna pemantauan terhadap tahap kesiapsiagaan murid diabaikan, sebaliknya tanggungjawab tersebut perlu dipikul bersama oleh guru dan ibu bapa melalui aspek pemerhatian berterusan.

Sementara itu, beliau menegaskan matlamat utama kerajaan adalah untuk memastikan kanak-kanak berusia enam tahun mendapat ruang pembelajaran yang optimum.

Anwar berkata meskipun terdapat gesaan supaya kemasukan ke Tahun Satu seawal umur enam tahun ditangguhkan atas pelbagai kebimbangan, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam arus pendidikan global dengan 137 negara telah melaksanakannya.

Beliau berkata tambahan RM800 juta akan diperuntukkan dalam belanjawan tahun ini bagi memenuhi keperluan segera termasuk pengambilan 18,000 guru baharu.

“Memang benar, saya tak nafikan kalau ikut Kementerian (Pendidikan) pada peringkat awal, dia kata boleh tak kita tangguh setahun lagi. Saya fikir agak berbeda, saya kata kalau kita tangguh setahun lagi, anak-anak kita itu rugi setahun.

“Anak-anak kita generasi sekarang tak seperti dulu, umumnya mereka jauh lebih dewasa, lebih pintar, lebih peka…jangan kita fikir guna tahap pemikiran kita yang lama, memang kita rasa tak boleh. Tapi anak-anak kita jauh lebih pintar, yang penting, beri pendedahan kepada mereka,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img