PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan supaya projek ternakan babi berpusat di Bukit Tagar, Selangor yang menimbulkan keresahan masyarakat setempat dibatalkan terlebih dahulu ataupun dipindahkan di kawasan baharu yang lebih baik.
Anwar berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bagi mendapatkan penyelesaian terbaik berhubung isu itu.
Beliau berkata isu berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya hari ini, susulan ia menimbulkan keresahan rakyat di kawasan tersebut.
“Saya akan bincang dengan Menteri Besar Selangor dan bagi pandangan supaya kalau boleh batalkan dulu projek itu dan pertimbangkan kalau boleh kawasan yang lebih baik dengan syarat teknologi itu terjamin.
“Kalau pun teknologi itu terbaik, tetapi di kawasan yang menimbulkan kesan (keresahan) itu, tentu tidak wajar diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di Bangi hari ini, lapor Bernama.
Berita Lanjut Menyusul


