DATUK Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang atas kejayaan menjuarai acara keirin pada saingan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 di Perth, Australia, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri memuji pencapaian Azizulhasni yang disifatkan terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
“Tahniah juga buat legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, atas kejayaan menjuarai acara keirin pada saingan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026 di Perth, Australia.
“Saya mendoakan semoga The Pocket Rocketman terus cemerlang dan membawa lebih banyak kejayaan buat negara pada kejohanan akan datang,” katanya.
Azizulhasni terus membuktikan dirinya masih berbisa dan mampu bersaing di pentas dunia apabila menghadiahkan pingat emas acara keirin pada siri pembukaan kejohanan itu.
Pada aksi final di Velodrom Perth SpeedDome, Azizulhasni yang bermula di belakang bijak menyusun strategi dengan mengekori rapat pelumba nombor satu dunia dari Great Britain, Matthew Richardson dan menunggu masa tepat sebelum melakukan pecutan emasnya.
Hari ini, Azizulhasni akan meneruskan cabaran dalam acara pecut individu lelaki.


