KETUA Pembangkang baharu yang akan dicalonkan daripada Pas dijangka dimuktamadkan pelantikannya sebelum akhir bulan ini atau sebelum persidangan Parlimen akan datang.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemilihan itu akan mengambil kira pandangan semua Ahli Parlimen PN selaras dengan amalan biasa dalam kalangan parti pembangkang.
“Ketua Pembangkang akan dipilih daripada Ahli Parlimen Pas. Untuk pemilihan ini, pandangan Ahli Parlimen akan diambil kira sebagaimana pelantikan sebelum ini,” katanya lapor Harakahdaily.
Beliau berkata, proses tersebut sama seperti pelantikan terdahulu yang menyaksikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilantik sebagai Ketua Pembangkang hasil persetujuan bersama dalam PN.
Terdahulu, media melaporkan Pas akan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dan buat masa ini jawatan tersebut disandang oleh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut.
Taikyuddin berkata, pelantikan Ketua Pembangkang baharu perlu mendapat persetujuan parti-parti komponen PN melalui Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi gabungan itu.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan PN kini bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka.
“Jentera PN sudah bersedia. Kita akan mengadakan majlis Aidilfitri di Melaka pada 11 April dan selepas itu gerakan pilihan raya akan bermula,” katanya.
Beliau berkata, soal pemilihan calon tidak menjadi isu dan akan dibincangkan bersama empat parti komponen dalam PN.


