PERIKATAN Nasional akan mengumumkan nama Ketua Pembangkang yang baharu daripada Pas bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum akhir bulan Mac ini.
Pengerusi PN, Datuk Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN hari ini.
“Mesyuarat akan memutuskan jawatan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia akan dipegang oleh seorang Ahli Parlimen dari PAS, namun namanya akan diumumkan sebelum akhir bulan Mac.
“Setakat ini, Hamzah masih lagi memegang jawatan Ketua Pembangkang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Ibu Pejabat Parti Gerakan, Kuala Lumpur, hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau; serta Presiden Malaysian Indian People’s Party (MIPP), P Punithan.
Sebelum ini, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.


