Polis berkas suspek kes bunuh, kerat wanita tidak sampai 24 jam

TIDAK sampai tempoh 24 jam, polis berjaya menahan suspek kes pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi di Taman Indah Permai, di Sepanggar, Kota Kinabalu hari ini.

Lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan sekitar bandar Kota Kinabalu kira-kira jam 5 petang dalam operasi membabitkan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Turut terlibat, anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK dan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang.

Difahamkan, suspek dikenal pasti hasil petunjuk daripada mayat mangsa selepas penemuan kepala dan badan, susulan daripada penemuan awal tangan dan kaki mangsa di dalam tong sampah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan, lapor Harian Metro.

“Suspek lelaki tempatan berusia 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu. Dengan tertangkapnya suspek utama ini, kes ini dianggap telah diselesaikan.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Difahamkan, suspek kini ditempatkan di hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut sebelum proses reman dijalankan.

Terdahulu, mayat wanita lingkungan 40-an ditemukan dalam keadaan anggota badannya dikerat dan dibuang secara berasingan di tempat pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai, pagi tadi.

Penemuan awal membabitkan kaki dan tangan berhampiran tempat letak kereta bersebelahan sebuah pasar raya pada jam 6.30 pagi. Anggota badan itu ditemukan pekerja lori sampah yang kemudian memaklumkan kepada polis.

Pencarian lanjut dilakukan polis dengan bantuan pekerja lori sampah yang membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada 11.40 pagi di satu lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran pasar raya itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img