Polis buru lelaki pecah skrin mesin ATM guna batu

POLIS kini memburu seorang lelaki selepas bertindak memecahkan skrin Mesin Teler Automatik (ATM) di beberapa buah bank sekitar daerah Sentul, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, laporan pertama diterima kelmarin, pukul 8.40 pagi daripada seorang juruteknik ATM berusia 38.

Pengadu yang bekerja di Cawangan Maybank Jinjang Selatan, Kuala Lumpur, mengatakan semasa menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, mendapati empat skrin mesin ATM telah retak disyaki perbuatan khianat dilakukan oleh individu yang tidak dikenali.

“Semalam pihak polis turut menerima empat lagi laporan polis berkaitan kejadian serupa masing-masing di Cawangan Maybank Jinjang Selatan, Cawangan RHB Jinjang Utara dan Cawangan Public Bank Jinjang Utara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan laporan terbabit, satu operasi memburu suspek dilancarkan.

“Suspek merupakan seorang lelaki bangsa belum dapat dikenal pasti, ketinggian lebih kurang 165 sentimeter, berbadan sederhana dan berkulit cerah.

“Ketika kejadian suspek memakai baju kemeja lengan pendek warna kelabu, berseluar panjang serta memakai selipar warna hitam.

“Suspek memakai topi keledar warna biru dengan menaiki motosikal jenis Honda Waze warna biru dan nombor pendaftaran belum dapat dikenal pasti,” tambahnya.

Katanya, suspek bertindak memecahkan skrin mesin ATM menggunakan objek disyaki batu dan terus melarikan diri dan tiada unsur jenayah lain dikenal pasti setakat ini.

Jumlah kerugian dianggarkan lebih kurang RM64,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img