POLIS sedang mengesan waris kepada mayat seorang lelaki yang ditemukan terapung di pantai berhampiran sebuah hotel di Batu 4, Port Dickson pada 7 November lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat berkenaan daripada orang awam.
“Bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerima panggilan orang awam yang menemukan mayat lelaki dipercayai rakyat tempatan itu.
“Siasatan pihak polis mendapati mayat berkenaan dipercayai seorang lelaki Cina berusia lingkungan 40-an, ketinggian 164 sentimeter, berat 64 kilogram, berambut pendek beruban dan berkulit cerah.
“Lelaki itu turut memakai gigi palsu dan lengkap berpakaian baju T-shirt warna hitam berjalur menegak, lengan berjalur melintang dan berseluar pendek warna hijau bertulisan ‘s.Army’ sebelah kiri ditemui tanpa sebarang identiti ataupun dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan ke atas tubuh si mati tidak menemui sebarang kesan kecederaan ataupun perlakuan jenayah.
“Mayat berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan pengambilan cap jari.
“Bedah siasat mayat lelaki itu sudah selesai dijalankan pada jam 10 pagi semalam dan siasatan lanjut masih diteruskan,” ujarnya.
Maslan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihak polis cuba mengesan waris si mati melalui cap jari tetapi gagal.
“Polis masih mengesan waris si mati dan menyeru orang awam atau mana-mana orang yang kehilangan ahli keluarga untuk berhubung dengan Ketua Polis Balai Port Dickson, Inspektor Rowi Hasan di talian 019-666 6652 atau 06-647 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.


