Polis intip kegiatan seludup dadah pegawai TUDM sejak Januari

MENTERI Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata polis mengintip kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan membabitkan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak Januari lalu.

Katanya,  risikan berterusan itu berjaya meyakinkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada Julai lalu wujud kegiatan penyeludupan dadah membabitkan aset TUDM.

Beliau berkata, kumpulan pegawai itu dikesan menggunakan kemudahan TUDM untuk membawa dadah dari satu lokasi ke lokasi lain tanpa melalui pemeriksaan ketat oleh pihak berkuasa di pintu masuk rasmi.

“Ekoran penangkapan pembantu juruterbang kita di Jakarta tempoh hari, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan meningkatkan dan memperketat langkah keselamatan di pintu keluar masuk, terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Jadi, ini tentunya memberi kesan kepada sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan, maka mereka terpaksa memilih kaedah penyeludupan lain, mereka pilih melalui pelabuhan dan kaedah lain.

“Maka, mereka guna kaedah membawa dadah menggunakan kemudahan TUDM dari satu titik ke satu titik dan jumlah yang kita kesan, iaitu 96kg adalah besar,” katanya menurut Harian Metro selepas Majlis Penerapan Nilai Murni di Kampung Paya Besar, Lunas, Kedah, malam tadi.

Beliau berkata, hasil kerjasama JSJN dan TUDM berjaya mengesan kegiatan membawa dadah dari Semenanjung ke Sabah.

Katanya, pemeriksaan ke atas bagasi dalam premis TUDM pada hari kejadian menemui sejumlah dadah yang turut mengesahkan pembabitan pegawai serta orang awam berkaitan.

“Pegawai TUDM terbabit masih direman dan fokus polis untuk kenal pasti sama ada ini benar perbuatan sindiket, berapa lama aktiviti ini berjalan, apakah hanya pada hari tangkapan atau lebih awal?

“Kita tak tahu lagi sindiket ini tempatan atau luar kerana tangkapan yang dibuat ada orang awam dan tentera, tetapi kalau jumlahnya lebih seorang, tentu ada kemungkinan ada sindiket di belakangnya dan kita tidak menolak akan ada tangkapan lagi.”

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan pegawai TUDM, termasuk juruterbang, terbabit kes penyeludupan dadah membabitkan jumlah besar.

Khamis lalu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Hussein Omar Khan, mengesahkan lima pegawai TUDM dan enam orang awam ditahan di sekitar Lembah Klang serta Labuan kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64kg syabu dianggarkan bernilai RM4.83 juta menggunakan aset TUDM baru-baru ini.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Anwar dijangka membawa isu penyeludupan dadah membabitkan aset TUDM dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Jelasnya, perdana menteri mahu membincangkan kemungkinan kawalan keselamatan pintu keluar masuk negara diperluaskan ke pangkalan udara pasukan keselamatan.

Katanya, terdapat banyak pangkalan udara di seluruh negara di bawah kawalan pihak tentera, selain polis melalui pasukan gerakan udara, terdedah kepada risiko penyeludupan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here