POLIS sedang memburu suspek yang terlibat dalam kes pecah rumah selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian jenayah itu tular dalam media sosial, di Jalan Persada 17, Residensi Prima di Kota Tinggi, Johor.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, Unit Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi mengesan satu hantaran video berkenaan pada jam 8 malam tadi.
“Polis mengambil maklum mengenai hantaran berkenaan dan siasatan mendapati satu laporan polis telah diterima pada Rabu lalu pada jam 6.06 pagi.
“Laporan dibuat oleh seorang lelaki tempatan berkaitan kes pecah rumah dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,000.
“Polis mendapati video tersebut memaparkan kejadian rompakan bersenjata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Yusof, susulan laporan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda dan jika melibatkan kesalahan mencuri, pesalah boleh dipenjara sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Muhammad Asrul Ishak di talian 017-534 1109 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Maklumat juga boleh disalurkan melalui Hotline Polis IPD Kota Tinggi di talian 07-883 1222,” katanya.


