POLIS masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan membabitkan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Perodua Myvi di Tanah Merah, Kelantan pada 20 Mac lalu yang menyebabkan seorang maut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya masih menunggu laporan kimia berhubung kes berkenaan.
“Pada masa sama, kita menunggu laporan dari Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut sekiranya siasatan selesai dilakukan,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Media sebelum ini melaporkan Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah menafikan dakwaan kenderaan jabatan sebagai punca kemalangan terbabit seperti yang tular di media sosial.
Dalam kejadian pada 4.30 petang 20 Mac lalu itu, anak kepada editor kanan Astro Awani, Husna Yusop, iaitu Mursyid Azmi, 25, disahkan meninggal dunia.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku ketika kenderaan JPJ sedang menjalankan rondaan dari arah Bukit Bunga menuju ke Jeli dan setibanya di lokasi, kereta Perodua Myvi dipandu mangsa datang dari arah bertentangan dipercayai memasuki laluan kenderaan jabatan itu secara tiba-tiba.
Sementara itu, Husna ketika dihubungi memaklumkan, seorang anaknya iaitu Madiha, 19, yang turut cedera dalam kemalangan itu masih menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.
Menurutnya, seorang lagi anaknya, Mumtaz, 17, hanya mengalami cedera ringan dalam kejadian berkenaan.
“Madiha mengalami patah pada kedua kakinya dan perlu dimasukkan besi. Kaki kanan sudah dimasukkan besi pada 22 Mac lalu dan sebelah lagi akan dimasukkan besi hari ini,” katanya.


