Polis rampas mercun, bunga api lebih RM3 juta di Kota Bharu

BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sejumlah 1,031 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai hampir RM3.09 juta dalam serbuan di sebuah stor dekat Kampung Pasir Tumboh, di Kota Bharu baru-baru ini.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan menerusi Ops Taring Wawasan itu dijalankan pada 12.10 tengah malam, 4 Februari lalu melibatkan anggota Risik Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

GAMBAR: Briged Tenggara PGA

“Hasil pemeriksaan menemukan kesemua mercun dan bunga api yang disimpan tanpa sebarang dokumen sah, selain turut merampas sebuah telefon bimbit bernilai kira-kira RM2,000.

“Empat lelaki tempatan berusia 20 hingga 24 tahun yang berada di premis tersebut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1952,” katanya kepada pemberita hari ini, lapor Bernama.

Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati bekalan mercun tersebut dipercayai diperoleh daripada sebuah syarikat pembekal di Masjid Tanah, Melaka dan dibawa ke stor berkenaan secara berperingkat bulan lepas sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Radzi berkata, pihaknya merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson model 3914 berisi lapan butir peluru hidup, hasil penahanan tiga lelaki di tepi Jalan Pengkalan Kubor, Tumpat pada 6 Februari lalu.

Beliau berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 8.30 malam oleh sepasukan anggota Batalion 7 PGA bersama Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tumpat.

“Sebelum tangkapan dilakukan, anggota bertugas mengesan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dan sebuah motosikal Modenas Kriss diparkir dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan berhampiran sebuah kedai karpet dekat Pengkalan Kubor.

“Pemeriksaan awal mendapati tiga lelaki berusia 25, 26 dan 33 tahun berada di lokasi tersebut dan seorang daripada suspek cuba melarikan diri menaiki motosikal namun terjatuh ke dalam longkang berhampiran sebelum berjaya ditahan,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, ujian saringan air kencing mendapati dua daripada tiga suspek positif methamphetamine manakala seorang lagi negatif.

“Siasatan awal mendapati pistol berkenaan dipercayai diperoleh daripada seorang warga Thailand di Tak Bai dan dibawa masuk melalui pengkalan haram di Pengkalan Kubor dengan bayaran upah RM1,500.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya yang menambah polis turut mengesan seorang individu dikenali ‘Abe Keydey’ bagi membantu siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img