Polis serbu kilang haram, rampas 13 guni e-waste

POLIS merampas 13 guni mengandungi campuran pelbagai barangan sisa elektronik (e-waste) bernilai RM350,000 dan menahan seorang pekerja warga asing, dalam serbuan di kilang di Kawasan Industri Ringan Asas Jaya, Bukit Mertajam, semalam.

Serbuan jam 1.30 tengahari itu dilaksanakan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, melalui serbuan Op Hazard itu pemeriksaan dilakukan terhadap kilang yang menjalankan aktiviti pemprosesan barangan kitar semula.

“Pemeriksaan JAS negeri juga turut mendapati kilang berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste tanpa kebenaran yang sah.

“Hasil siasatan awal mendapati kilang terbabit didaftarkan di bawah syarikat tempatan dan beroperasi sejak awal tahun 2023 serta mempunyai kebenaran menjalankan aktiviti jual beli barangan lusuh dan kitar semula.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan pengurusan sisa elektronik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua barang rampasan diserahkan kepada JAS negeri untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img