POLIS Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan pemprosesan dadah di sebuah kediaman di sini yang dijadikan makmal haram, dengan nilai rampasan dan sitaan melebihi RM3.4 juta.
Dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan dan wanita warga asing berusia antara 33 hingga 44 tahun yang terlibat dengan sindiket itu telah ditahan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan dilakukan antara jam 4 petang kelmarin hingga 9 pagi semalam oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pulau Pinang.
Menurutnya, suspek pertama ditahan di kawasan parkir kenderaan sebelum pihak polis dibawa ke sebuah rumah dan pemeriksaan menemukan dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA), daun kering disyaki ganja, pil ekstasi, pil erimin 5 serta ketamin.
“Turut dirampas, peralatan yang digunakan untuk kerja pemprosesan dadah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azizee, pihaknya kemudian menahan dua lagi suspek di lokasi berasingan, dipercayai mempunyai kaitan dengan jenayah itu.
Katanya, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket berkenaan dipercayai sudah aktif sejak Oktober tahun lalu.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala semakan menunjukkan mereka mempunyai rekod kesalahan narkotik,” katanya.
Beliau berkata, tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 diambil bagi melucut hak tiga kenderaan, barangan kemas dan wang tunai bernilai RM34,940.80 yang disita.
“Keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta bernilai RM3,463,104.80. Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga 6 April untuk siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah berbahaya 1952,” katanya.


