Polis tahan gelandangan dalang 30 kes pecah kedai

POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam 30 kes pecah kedai dan kecurian peti wang tunai di sekitar ibu negara sejak Julai 2025.

Suspek berusia 44 tahun itu juga merupakan seorang gelandangan dan bekas banduan yang mempunyai rekod jenayah sama.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, suspek kembali aktif melakukan jenayah pecah kedai pada Julai 2025, selepas dibebaskan dari penjara pada Mac tahun sama, menjadikannya seorang pesalah berulang.

“Hasil risikan polis mendapati dia terlibat dalam 11 kes di Wangsa Maju, tujuh kes di Dang Wangi, enam kes di Cheras, empat kes di Sentul dan dua kes di Brickfields, dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM59,546,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju hari ini.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah dengan hanya menggunakan batu untuk memecahkan pintu kaca premis, sebelum melarikan wang tunai.

Polis juga menemukan semula dua motosikal curi yang digunakan suspek untuk bergerak ke lokasi jenayah.

“Suspek bergerak sendirian, menyasarkan premis pada waktu awal pagi atau lewat malam dan tidak melibatkan sebarang senjata lain,” katanya sambil mengesahkan kes jenayah melibatkan suspek terbabit kini selesai.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img