POLIS menahan seorang lelaki selepas dipercayai memukul dan menendang pesara warga emas selepas kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan kecil di Batu 9 Cheras, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada jam 4.49 petang semalam daripada mangsa berusia 69 tahun yang mendakwa turut diugut suspek di pekan Suntex di Batu 9.
“Bertindak atas laporan itu, polis kemudian menahan suspek berusia 52 tahun di sekitar Kajang pada jam 11.30 malam semalam.
“Lelaki itu kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor BH.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan R Ganesan di talian 012-608 9180 untuk membantu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan mematuhi undang-undang dan mengamalkan sikap bertanggungjawab bagi memastikan keharmonian serta ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.


