Prabowo arah kos haji diturunkan, tempoh menunggu dikurangkan kepada 26 tahun

PRESIDEN Indonesia, Prabowo Subianto, mengarahkan Kementerian Haji dan Umrah agar terus menurunkan kos pelaksanaan ibadah haji dan mempercepatkan tempoh menunggu jemaah haji Indonesia kepada 26 tahun.

Dalam Sidang Kabinet Paripurna sempena setahun pentadbiran pemerintahannya di Istana Negara Jakarta semalam, Prabowo menegaskan bahawa penurunan kos haji boleh dicapai melalui langkah efisiensi dan pelaksanaan yang bersih.

“Menteri Haji tidak hadir kerana kini berada di Arab Saudi untuk mengurus hal berkaitan. Saya minta kos haji mesti terus diturunkan, boleh dilakukan dengan efisiensi dan pelaksanaan yang bersih,” kata Presiden Prabowo lapor Republika.

Selain menurunkan kos, Presiden turut menekankan pentingnya mempercepat masa menunggu haji daripada purata 40 tahun ketika ini kepada 26 tahun, dan menyatakan keyakinan bahawa sasaran tersebut boleh dicapai.

Beliau menjelaskan bahawa pembentukan Kementerian Haji dan Umrah merupakan hasil permintaan Kerajaan Arab Saudi, yang menilai urusan haji perlu dikendalikan oleh pegawai bertaraf menteri.

“Kita menubuhkan Kementerian Haji atas permintaan Kerajaan Arab Saudi kerana mereka mahu urusan haji ditangani oleh menteri, bukan sekadar ketua badan. Jadi kita sesuaikan,” jelasnya.

Dalam sidang berkenaan, Prabowo turut mendedahkan bahawa Kerajaan Arab Saudi buat pertama kali dalam sejarahnya telah meminda undang-undang bagi membenarkan negara asing membeli tanah di Tanah Suci.

Sehubungan itu, Arab Saudi menyetujui rancangan Indonesia untuk membina ‘Kampung Indonesia’ di Kota Mekah, hasil pendekatan diplomatik yang berterusan.

Kerajaan Arab Saudi juga menawarkan beberapa kawasan strategik, termasuk yang terletak berhampiran Masjidil Haram. Namun begitu, pembelian tanah tersebut perlu dilakukan melalui proses lelong terbuka, yang turut disertai oleh sekitar 90 entiti lain.

“Ketika saya bertemu Menteri Luar Negeri mereka, beliau memaklumkan bahawa lelongan ditutup pada 30 Oktober ini dan terdapat 90 entiti lain yang turut membida tanah tersebut. Mudah-mudahan Menteri Agama nanti boleh memimpin doa khusus,” kata Presiden Prabowo.

 


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img