PRESIDEN Iran, Masoud Pezeshkian, mengemukakan tiga syarat utama untuk menghentikan perang yang sedang berlaku, menerusi kenyataan di akaun rasmi X hari ini.
Pezeshkian berkata, satu-satunya cara untuk menamatkan konflik yang menurutnya “dicetuskan oleh rejim Zionis dan Amerika Syarikat” ialah dengan memenuhi tiga tuntutan Iran.
Beliau berkata syarat pertama ialah pengiktirafan terhadap hak sah Iran, diikuti pembayaran pampasan perang, serta jaminan antarabangsa yang tegas bagi menghalang sebarang pencerobohan pada masa hadapan.
“Dalam perbincangan dengan Rusia dan Pakistan, saya menegaskan komitmen Iran terhadap keamanan di rantau ini. Satu-satunya cara untuk menghentikan perang ini — yang dicetuskan oleh rejim Zionis dan AS — ialah dengan mengiktiraf hak sah Iran, membayar pampasan, dan memberikan jaminan antarabangsa yang tegas bagi mencegah pencerobohan pada masa depan,” kata Pezeshkian.
Sebelum ini, penasihat dasar luar di pejabat Pemimpin Tertinggi Iran, Kamal Kharazi, menyatakan bahawa Tehran tidak lagi melihat diplomasi sebagai pilihan dalam konflik semasa.
Dalam wawancara dengan CNN pada Isnin malam, beliau berkata Iran bersedia menghadapi perang berpanjangan dengan Amerika Syarikat dan akan terus meningkatkan tekanan terhadap negara-negara Teluk bagi memaksa Presiden AS, Donald Trump, menarik diri daripada konflik tersebut.
Kharazi turut memberi amaran bahawa perang hanya akan berakhir sekiranya tekanan ekonomi memaksa negara-negara lain campur tangan.
“Saya tidak melihat lagi ruang untuk diplomasi, kerana Donald Trump telah menipu pihak lain dan tidak menepati janjinya. Kami sudah mengalami perkara itu dalam dua pusingan rundingan; ketika kami sedang berunding, mereka sebaliknya menyerang kami,” katanya.


