
SAYA bukan orang politik atau berparti politik tetapi biasa bekerja membantu orang politik, sama ada kerja politik atau melaksanakan dasar kerajaan bila mereka berkuasa.
Kita kena mengambil tahu hal politik kerana politik adalah sebahagian daripada proses demokrasi negara yang akan menentukan juga persekitaran dan masa depan kita.
Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) yang sedang berlangsung menarik perhatian saya. Negeri itu ibarat ‘tanah air’ kedua saya selepas Perak (tanah kelahiran saya) kerana saya sudah hampir 20 tahun membangunkan pelbagai projek dan program sosiaekonomi di negeri di bawah bayu itu.
Saya juga mempunyai ramai sahabat di negeri tersebut dan pernah membantu mereka sebagai jentera pilihan raya. Justeru sedikit sebanyak ia memberikan pengalaman dan pengetahuan kepada saya untuk membaca trend pengundian pengundi Sabah serta pendekatan kempen yang boleh menyumbang kemenangan sahabat-sahabat saya.
Pada PRU-13 (tahun 2013), saya turun membantu mereka dengan berkempen di kawasan-kawasan pengundi ‘berstatus hitam’ yang jika tidak ditangani boleh menjejaskan perolehan undi keseluruhan di kerusi ditandingi.
Daripada merancang strategi hinggalah mengisi kempen yang boleh memutihkan semula sokongan undi hingga calon menang bergaya. Ada antara YB tersebut kemudiannya dilantik sebagai ‘Menteri di Sabah’.

Pernah belaku peristiwa lucu yang tidak dapat saya lupakan iaitu ketika membantu berkempen di sebuah kawasan agak pedalaman.
Saya yang tiba awal di tempat berkempen disambut dengan meriah oleh penduduk kampung kerana menyangka ‘sayalah calon pilihan raya’ di kawasan tersebut.
Semuanya gara-gara kawan saya yang menjadi calon tidak pernah turun ke kampung berkenaan ketika menjadi YB sebelum itu.
Pengalaman dalam beberapa pilihan raya lalu, membolehkan saya menilai sedikit sebanyak trend pengundi kali ini. Saya cuba menulis dengan seadil-adilnya supaya tidak kelihatan memihak kepada mana-mana parti. Jika ramalan saya tepat, ia ibarat Nujum Pak Belalang yang disebut dalam Filem P. Ramlee itu sebagai ‘Tok Nujum Terus Mata’.
Saya sudah mula mengkaji trend PRN Sabah sejak tahun lalu ketika menguruskan kerja-kerja bisnes saya di Sabah yang memberi saya peluang bertemu semua lapisan masyarakat.
Melalui pertemuan tersebut, saya boleh menilai tahap sokongan pengundi terhadap parti-parti bertanding, isu-isu yang boleh digunakan ketika kempen, ciri-ciri calon, pendekatan berkempen, keputusan pilihan raya serta keberangkalian terbentuknya kerajaan sama ada kerajaan majoriti atau penggabungan.
Ketika saya menulis artikel ini, parti-parti tempatan terutama Warisan kelihatan sedang mendahului dari segi pengaruh tetapi itu bukan bererti mereka boleh menang besar atau mampu mendapat majoriti bagi membolehkan parti tersebut menubuhkan kerajaan secara bersendirian. Keadaan mampu berubah sebelum dan selepas penamaan calon atas faktor calon-calon yang dipertaruhkan.
Saya masih ingat ketika tinjauan di lapangan pada bulan Ogos lalu, tahap sokongan kepada Warisan dikatakan mampu menguasai sekurang-kurangnya 40 kerusi tetapi ia turun kepada sekitar 20 hingga 27 kerusi setelah pengumuman calon-calon yang bertanding.
Setelah dicongak selepas penamaan calon Sabtu lalu, setakat hari ini tiada mana-mana parti akan berupaya menubuhkan kerajaan secara secara solo, maknanya mereka perlu bergabung untuk memerintah.
Semasa saya mendapatkan pandangan mereka yang berpengalaman dalam pilihan raya Sabah, mereka meramalkan parti-parti seperti Warisan, Barisan Nasional (BN), GRS, dan Pakatan Harapan (PH) berada dalam persaingan teratas dengan memperolehi sekitar 15 hingga 25 kerusi.
Manakala parti-parti lain seperti PBS, STAR, UPKO, serta KDM pula bakal memperolehi bawah 5 kerusi setiap satu. Bagaimanapun, kemunculan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dipandang remeh kerana gabungan itu mungkin sejarah baru di Sabah. Ini dinyatakan oleh belia-belia Sabah yang beragama Islam.
Pada masa sama berhati-hati juga sentimen generasi Z di Sabah (pengundi berumur 18-28 tahun) yang mempunyai 533,922 orang (29.9% daripada 1.78 juta pengundi Sabah)
Mainan mereka adalah TikTok,IG,X yang memerlukan calon PRN menguasai dunia digital jika mahu meraih undi golongan tersebut. Maka akhirnya, dijangka penggabungan yang bersifat ‘cium mulut’ akan berlaku selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Ramai yang mengulas tentang pilihan raya ini turut mengharapkan satu pembaharuan terutama calon muda untuk menguasai pilihan raya tetapi pada pandangan saya, ia tidak akan berlaku.
Ia kerana faktor kemenangan sebenarnya bergantung kepada siapa yang pandai menjaga pengundi, menguasai persepsi dan kemampuan mendekati pengundi serapat mungkin.
Kempen anti Malaya yang bermodalkan MA63 juga bukan lagi menjadi penentu. Ia memandangkan pengundi Sabah sudah berpengalaman melihat janji tersebut yang tidak ditunaikan dalam pilihan raya-pilihan raya lepas. Begitu juga sikap dan pendirian wakil-wakil rakyat yang berubah selepas menang pilihan raya.

Kualiti dan keyakinan terhadap calon juga bukan faktor kemenangan jika calon tersebut bertanding di kawasan yang mereka mempunyai pertalian persaudaraan yang ramai. Selain sentimen keluarga, perasaan terhutang budi menyebabkan pengundi memilih calon tersebut termasuk calon-calon lama yang pada fikiran kita sepatutnya sudah berpencen atau perlu direhatkan.
Hakikatnya, orang Sabah sudah mengetahui tabiat politik di negeri dan mengenali calon-calon yang bertanding. Rasanya, mereka juga tahu apa yang akan berlaku dalam pilihan raya ini. Saya dapati, tiada apa yang sangat mengujakan mereka.
Jika benar-benar berlaku perubahan drastik dalam pengundian PRN Sabah kali ini, maka itulah kejutan besar yang saya maksudkan. Namun saya tetap menyatakan bahawa warna-warni politik Sabah biasa sahaja, tidak ada apa-apa menarik akan terjadi.
Tiada parti yang menang besar bagi menubuhkan kerajaan secara solo, sebaliknya berlaku penggabungan biarpun berbeza ideologi dan akhirnya prinsip yang kononnya hendak diperjuangkan untuk orang Sabah akan sukar untuk ditunaikan kepada pengundi.
Apapun, keputusan pilihan raya ini juga amat penting kepada kerajaan perpaduan yang memerintah kerana ia akan menjadi pengukur kepada tahap populariti mereka dan pelan tindakan mereka terhadap pilihan raya umum dan negeri lain yang bakal dihadapi tahun depan atau habis penggal pada tahun 2027.
Cuma pesan saya kepada penyokong, pengundi dan rakyat ialah agar berpada-pada ketika musim pilihan raya ini supaya anda tidak kecewa selepas mereka berkuasa. Segalanya akan berubah terutama setelah mereka ‘bercium mulut’ (bergabung membentuk kerajaan).
Selamat berkempen kepada semua calon. Namun percayalah, sehebat mana perancangan kita, rancangan Allah tetap yang terbaik. Kita tunggu penghujungnya nanti. Kejutan luar biasa atau sekadar warna-warni politik Sabah yang biasa! Wallahualam.
*Penulis adalah usahawan dan penganalisis sosioekonomi.



