PERGERAKAN Pemuda UMNO menyifatkan pemilihan lima wakil Pemuda parti itu sebagai calon bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menggambarkan keyakinan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) terhadap kemampuan generasi muda memimpin dan membawa pembaharuan dalam politik di negeri berkenaan.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pemilihan lima calon muda itu antara yang tertinggi pernah dicatat dalam sejarah penyertaan Pemuda BN Sabah pada pilihan raya negeri.
“Pemuda UMNO menyambut baik keputusan BN menampilkan lima wakil Pemuda sebagai calon PRN Sabah.
“Sebenarnya ia satu tanggungjawab besar, namun insya-Allah kami akan laksanakan amanah ini sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini. Lapor Berita Harian.
Lima daripada 41 calon BN yang diumumkan semalam adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ranau, Md Nadzmin Kamin yang dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanan; Ketua Pemuda UMNO Sepanggar, Arfanshah Abd Gafar (Darau); Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu, Datuk Seri Anil Sandu (Kunak); Bendahari Pemuda UMNO Tawau, Dr Elmiariezan Ardan (Apas) dan Ketua Pemuda UMNO Tuaran, Dr Shahnon Rizal Thaijuddin (Sulaman).
Berikutan itu, Muhamad Akmal berterima kasih kepada Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kerana mempercayai barisan Pemuda untuk menggalas tanggungjawab besar itu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, semua calon dalam kalangan Pemuda itu adalah wajah baharu dalam politik Sabah, sekali gus menandakan bermulanya era baharu BN yang lebih segar dan progresif.
Serentak itu, katanya, seluruh jentera Pemuda dan pengundi perlu memberi sokongan penuh kepada calon muda berkenaan bagi memastikan kemenangan parti.
“Kami tidak akan sia-siakan peluang ini. Walaupun tugasan ini bukan mudah, kami akan berusaha sehabis baik untuk memastikan BN terus menjadi pilihan rakyat Sabah,” katanya.


