PERIKATAN Nasional (PN) akan bertanding di 41 daripada 73 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Kota Kinabalu, Bersatu akan bertanding di 33 kerusi, Pas (lima kerusi) dan Gerakan (tiga kerusi).
Melalui senarai calon, PN dilihat tidak meletakkan calon menentang Presiden Warisan Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Jeffrey Kitingan.
Bagaimanapun Ketua Srikandi Muda Bersatu Tuaran, Tiaminah Siti Aminah Ele akan menentang Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di kerusi Sulaman.
Di Sugut, Pengerusi PN Sabah Datuk Ronald Kiandee akan berdepan James Ratib dari Gagasan Rakyat Sabah dan calon UMNO Arifin Pachuk. Di Kundasang, Ketua Bahagian Bersatu Ranau, Atong Antong, akan menentang Pemangku Presiden PBS, Joachim Gunsalam.
Slogan ‘Kasi Bagus Sabah’ adalah pendekatan dan strategi PN untuk kembali memerintah negeri tersebut selepas kehilangan kuasa berikutan tindakan Hajiji dan beberapa ADUN berpaling tadah.
Dalam ucapannya Muhyiddin berkata kini terpulang kepada rakyat Sabah untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
“Nasib Sabah mesti sentiasa berada di tangan rakyatnya,” kata bekas Perdana Menteri itu.
Muhyiddin juga berkata calon PN dipilih mengikut integriti dan keupayaan mereka dan sebagai “langkah pertama ke arah membentuk kerajaan yang bersih dan stabil di Sabah”.
Ahli Parlimen Pagoh itu Muhyiddin berkata pentadbiran PN akan mengutamakan isu infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, serta mendorong pembaharuan antirasuah “hingga ke akar umbi”.
“Sukar untuk dipercayai bahawa di beberapa bahagian di Sabah, orang ramai masih hidup tanpa bekalan elektrik,” katanya.
Sementara itu, Ronald berkata rakyat Sabah tidak akan terintimidasi dengan nada pemimpin persekutuan mengenai hak hasil 40 peratus negeri, merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan peruntukan persekutuan.
“Walaupun mereka menyuarakan pendapat mereka kepada kami, kami tidak takut. Kami tahu hak kami di bawah Perkara 112C (Perlembagaan Persekutuan) dan ia mesti dikembalikan kepada Sabah,” kata bekas menteri itu, sambil menekankan bahawa ia bukan tentang penentangan tetapi keadilan.


