LANGKAH Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) melaksanakan empat program Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan satu program Mini Coaching (Pembangunan Produk) sepanjang tahun ini teryata mampu memperkukuhkan Pembangunan usahawan di Sabah.
INSKEN dalam satu kenyataan berkata, ia terbukti apabila melalui program berkenaan hasil jualan merekodkan peningkatan berjumlah RM3.9 juta, selain mewujudkan 128 peluang pekerjaan baharu melalui penyertaan usahawan IBBC.
‘’ Bagi Program INSKEN Mini Coaching (Pembangunan Produk) pula, sebanyak 95% peserta berjaya menambah baik produk atau perkhidmatan melalui elemen penjenamaan, pembungkusan, penentuan harga dan standard kualiti,’’ kata kenyataan tersebut.
Secara keseluruhan, INSKEN memberitahu, seramai 119 usahawan daripada sektor homestay (Ekopelancongan), kiosk vendor, serta kafe & restoran telah mencatatkan peningkatan hasil.
‘’Program ini turut menyaksikan 20 usahawan berjaya melonjak daripada kategori mikro kepada kecil, selari dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk meningkatkan keupayaan perusahaan tempatan.
‘’INSKEN juga memastikan setiap perbelanjaan pembangunan keusahawanan memberi impak optimum kepada ekonomi negara. Di Sabah sahaja, program bimbingan INSKEN berjaya menjana pulangan RM6.10 bagi setiap RM1 yang dibelanjakan, menunjukkan keberkesanan intervensi yang dilaksanakan,’’ kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pencapaian positif usahawan menerusi program bimbingan INSKEN membuktikan bahawa pendekatan berteraskan coaching mampu meningkatkan daya saing perniagaan serta hasil jualan secara mampan.
Ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN Sabah 2025, di Kota Kinabalu, semalam, beliau berkata, KUSKOP komited memperkukuh ekosistem keusahawanan negara agar lebih ramai usahawan dapat berkembang daripada skala mikro kepada kecil dan sederhana.

Berucap di majis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni, berkata selain peningkatan jualan, program bimbingan turut membuka ruang kepada usahawan tradisional untuk meneroka model perniagaan sosial yang memberi manfaat bukan sahaja kepada keuntungan, tetapi juga kepada komuniti.
‘’Melalui penganjuran Seminar Usahawan MADANI: Perniagaan Keluarga, INSKEN turut membantu usahawan memastikan kelangsungan dan kesinambungan perniagaan generasi ke generasi,’’ katanya.
Pada majlis tersebut, peserta terbaik IBBC bagi setiap industri turut diumumkan. Antara pencapaian tertinggi ialah Mohd Hafiz Abdullah, peserta Program IBBC Homestay (Ekopelancongan) yang juga penerima Geran Sejati MADANI.
Beliau merekodkan 447% peningkatan hasil jualan selepas membangunkan pakej pelancongan berasaskan komuniti di Kudat.
Bagi Program INSKEN Mini Coaching (Pembangunan Produk), Izhan Nasriq Imran dipilih sebagai peserta terbaik selepas berjaya menambah baik strategi harga, margin keuntungan, pembungkusan dan kualiti produk sehingga mencapai 361% peningkatan hasil jualan.
Kenyataan itu berkata, INSKEN turut menjalinkan kerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah dalam menjayakan inisiatif bimbingan itu.
‘’ INSKEN sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dengan agensi serta organisasi lain bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan negara melalui latihan dan bimbingan yang berimpak tinggi,’’ kata kenyataan berkenaan.
Maklumat lanjut mengenai program keusahawanan boleh diperoleh melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my serta platform media sosial rasmi INSKEN.


