Pukul isteri hamil hingga parah: Mahkamah Tinggi kekalkan hukuman penjara 10 tahun ke atas peniaga

MAHKAMAH Tinggi Johor Bharumengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang peniaga kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya yang hamil sehingga wanita itu berada dalam keadaan koma, empat tahun lepas.

Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Rosmaini Abd Raof, 42, terhadap sabitan serta hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen selepas mendapati lelaki itu bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut menolak rayuan silang pihak pendakwaan untuk menambah hukuman penjara selepas mendapati hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini yang kini bekas suami kepada wanita itu, Jahidah Nordin @ Sylvester, 46, adalah memadai.

Dalam penghakimannya, Atan Mustaffa berkata, Hakim Mahkamah Sesyen dilihat tidak melakukan sebarang kesilapan dalam menentukan saksi pendakwaan 1 (SP1) adalah saksi yang dipercayai.

“Kemunculan dua eksibit D45 dan D47 (laporan polis dan surat akuan berkanun) yang diragui itu pula hanya dikemukakan selepas tertuduh dipanggil membela diri dan selama perbicaraan lebih dua tahun, ‘versi baharu’ ini tidak pernah dikemukakan oleh mana-mana saksi pendakwaan.

“Tertuduh juga satu-satunya individu yang mempunyai akses ke apartmen (lokasi kejadian) dan tertuduh juga mengaku pada SP1 (rakan Rosmaini), dia ada memukul isterinya menggunakan tangan.

“Berdasarkan laporan perubatan juga menunjukkan mangsa cedera parah pada otak dan memerlukan pembedahan selain tertuduh cuba melarikan diri ketika ditangkap polis,” katanya, lapor Berita Harian.

Bagi permohonan rayuan silang dibuat pihak pendakwaan pula, Atan Mustaffa berkata, Mahkamah Tinggi tidak akan memberi campur tangan terhadap keputusan tempoh hukuman Mahkamah Sesyen berkenaan.

“Pendakwaan berhujah hukuman penjara selama 10 tahun adalah terlalu ringan jika dibandingkan dengan tahap kecederaan yang serius dialami mangsa.

“Walaupun mahkamah simpati pada mangsa yang kini dalam keadaan memerlukan penjagaan berterusan kesan perbuatan tertuduh, namun mahkamah tidak berpuas hati untuk campur tangan tentang keputusan tempoh hukuman Mahkamah Sesyen itu,” katanya.

Pada prosiding hari ini, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu dan Umar Faiz Abdul Kohar manakala peguam, Kamal Hisham Jaafar; Muhammad Nor Tamrin dan Nurainaa Kamilah Zalizan mewakili Rosmaini.

Muhammad Nor kemudian memohon perintah penggantungan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara pihaknya menfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan dan ia dibenarkan mahkamah.

Bagaimanapun, mahkamah meningkatkan jumlah jaminan daripada RM15,000 kepada RM25,000 serta dua syarat jaminan sebelum ini dikekalkan iaitu lapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan Rosmaini untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya itu sementara menunggu rayuan sabitan dan hukuman didengar serta diputuskan Mahkamah Tinggi.

Rosmaini sempat dipenjarakan 79 hari selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen Johor Bharu.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bekas isteri ketiganya, Jahidah, 46, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada belakang badan wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan, dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Jahidah dilaporkan selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kanak-kanak itu disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).


 

UNDILAH

Loading poll ...

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img