Rafizi sedia berdepan serbuan SPRM, pesan isteri kemas rumah

BEKAS Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa `sumber dalamannya’ dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi maklumat bahawa agensi itu mungkin melakukan serbuan terhadap dirinya hari ini.

Menurutnya, tindakan itu susulan laporan yang mendakwa berlaku penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion sewaktu tempoh perkhidmatannya sebagai menteri.

Ia berkait laporan mengaitkannya dengan perjanjian kerajaan bersama syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, ARM Holdings.

Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan bahawa dia tidak asing dengan taktik intimidasi.

“Saya seorang veteran dalam bab kena tangkap, kena serbu, atau masuk lokap. Saya sedia melaluinya sekali lagi jika dia berani mencuba,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini, lapor Malaysiakini.

Sambil berseloroh, Rafizi turut mendedahkan bahawa dia telah berpesan kepada isterinya agar mengemas rumah sebagai persediaan menghadapi kemungkinan serbuan SPRM tersebut.

Malam tadi, Rafizi turut menepis laporan yang dibuat terhadapnya berkaitan perjanjian ARM Holdings, sambil menegaskan SPRM bebas menjalankan siasatan.

“Kononnya ARM menyogok saya. Mereka boleh siasat sejauh mana mereka mahu.

“Saya tidak pun dapat makan tengah hari atau cenderamata daripada ARM, apatah lagi sogokan. Saya masih miskin seperti dahulu. Saya tidak ada jutaan ringgit dalam bentuk saham,” tulisnya di platform X.

Semalam, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan mendakwa seorang bekas menteri telah menyalahgunakan kuasa berkaitan penganugerahan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion kepada sebuah syarikat asing.

Menurut mereka, laporan itu turut membabitkan seorang bekas pegawai yang pernah berkhidmat dengan syarikat berkenaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img