SEORANG penunggang motosikal maut yang dikatakan baru sebulan berkahwin maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Kuchai Lama, dengan rakaman kejadian berkenaan tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesahkan menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut selepas satu video dimuat naik menerusi platform TikTok.
Menurut beliau, kemalangan itu berlaku pada 8 Disember lalu kira-kira pukul 12.30 tengah malam melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RS150 dan sebuah kereta Honda City di Jalan Kuchai Lama dari arah Sri Petaling menghala ke Jalan Klang Lama.
“Siasatan awal mendapati berlaku perlanggaran semasa motosikal yang ditunggang oleh mangsa, berumur 25 tahun, sedang memasuki selekoh jalan dengan sebuah motokar yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 38 tahun dari arah Sri Petaling,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan pada 9 Disember lalu kira-kira pukul 7.11 pagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum diklasifikasi semula di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis telah menjalankan siasatan dengan merakam percakapan pemandu motokar yang juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, orang awam yang melihat kejadian termasuk pemilik video rakaman dashcam tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Mohammad Salehuddin bin Musa di Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.


